Friday, December 27, 2013

Urusan carian geran di Pejabat Tanah Hulu Langat

Teks: Norlia Haris
Foto: Carian Google




Bila ada orang bertanya di mana Pejabat Tanah Hulu Langat pastinya ramai yang menjawab di Hulu Langat letaknya. Namun Pejabat Tanah Hulu Langat berkedudukan di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi yang juga merupakan kawasan jajahan Daerah Hulu Langat. Berhampiran dengan Taman Tasik Cempaka, Masjid Hasanah Seksyen 9, Bangi dan bersebelahan pasaraya Warta.

Minggu lepas saya berkesempatan bersama suami untuk membuat carian geran di Pejabat Tanah Hulu Langat. Ini adalah langkah wajib yang perlu dibuat apabila ingin berurusan dengan penjualan tanah. Carian geran ini adalah untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pemilikan, jumlah pemilik sebenar, jumlah keluasan tanah, bentuk tanah, status pajakan atau pegangan bebas serta tanah tersebut bebas dari kaveat atau sebaliknya. Semua maklumat ini penting untuk memastikan tanah yang dimaksudkan "valid" untuk urusan jual beli.

Terdapat peraturan baru menambahbaik urusan carian geran di Pejabat Tanah Hulu Langat ini. Dimana sebelum carian geran dibenarkan untuk dicetak, mereka yang membuat carian geran perlu membuat pengesahan kad pengenalan, cap jari dan memberi nombor telefon sebagai rujukan. Langkah yang baik untuk mengawal dan mengenal pasti maklumat geran diberikan kepada mereka yang bertanggungjawab. Bayaran caj RM30 untuk carian biasa dan RM50 untuk carian rasmi.

Apabila maklumat sebenar tanah telah diketahui, kami berurusan pula di Bahagian Pembangunan Tanah dimana maklumat tambahan diperlukan untuk mengetahui secara kasar lokasi, kawasan sekitar, jalan masuk, laluan perparitan dan zon persekitaran tanah. Maklumat tambahan ini amat penting untuk mengetahui samada tanah yang dinyatakan sesuai untuk pembangunan atau tidak.

Ramai penjual, agen hartanah dan broker hartanah tidak melakukan prosedur asas ini apabila ingin membuat urusan jual beli tanah. Kebiasaan pihak pembeli ingin mengetahui maklumat tentang kedudukan tanah, jalan keluar masuk ke tanah berkenaan, keadaan bentuk muka bumi, tanaman atas tanah, keluasan sebenar tanah dan pemilik sebenar tanah yang ingin mereka beli selain harga yang ditawarkan. Oleh itu, anda sebagai pemilik atau bakal pembeli tanah perlu membuat carian geran terkini sebagai dokumen rasmi urusan jual beli tanah.

Sekian sahaja perkongsian hari ini. Selamat beramal. :)

Wednesday, December 25, 2013

Balik kampung

Teks: Norlia Haris
Foto: Carian Google




Assalamualaikum.

Sabtu lepas, saya sekeluarga pulang ke kampung di Batu Pahat, Johor untuk menghadiri majlis kesyukuran dan khatam Al-quran anak abang ngah saya, Muhammad Afiq Izzudin.

Saya sampai di kampung jam 11.00 malam. Beberapa khemah "Arabian" sudah siap terpasang. Saya terus "check in" di rumah mak yang sememangnya terletak bersebelahan di antara rumah abang ngah dan abang long saya. Apa menu "special" malam ni? sudahlah datang lewat, sibuk tanya menu pula. Tengah malam itu, saya menikmati nasi, lauk pauk masakan kampung dan sup "gear box" kambing yang sememangnya menjadi kesukaan saya sambil bertanya khabar dan bersembang-sembang kosong dengan saudara-mara.Walaupun sudah agak lewat malam, saya masih membantu membuat kuih-muih dan persiapan untuk majlis pada esok hari dengan jemputan 1000 orang.

Dalam sibuk-sibuk membuat persiapan akhir, dalam pukul 2.20 pagi, kami menerima panggilan telefon menyatakan pakcik saya yang tinggal di kampung berdekatan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir disebabkan sakit tua. Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. Semoga Allah menempatkan pakcik saya, Allahyarham Mohd. Salleh bin Abdul Rashid bersama orang-orang yang beriman. Amin.

Jadi hari Ahad, ada dua majlis dalam satu masa. Memang hari itu saya benar-benar menjadi "orang dapur". Walaupun kepenatan, tetapi saya bersyukur dapat turut menyumbangkan tenaga untuk orang-orang yang terdekat dengan saya. Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar dari pagi sehingga ke petang, malamnya pula saya ke rumah arwah pakcik untuk turut sama menghadiri majlis tahlil.

Perancangan awal, mahu bertolak balik ke Kajang seawal pagi yang boleh, maklumlah hari Isnin macam-macam urusan mahu diselesaikan tetapi bila sudah berada di kampung, berat hati pula untuk pulang. Adik-beradik semua di sini bersama-sama emak tersayang. Akhirnya pukul 9.00 malam saya sekeluarga selamat sampai ke rumah. Alhamdulillah.

Friday, December 20, 2013

Persediaan sebelum membeli rumah

Teks: Norlia Haris
Foto: Carian Google



Bismillahirrahmanirrahim.

Anda sedang berkira-kira untuk membeli rumah? Alhamdulillah, anda sebenarnya sedang membuat persediaan merancang kehidupan yang lebih selesa buat diri dan keluarga anda untuk masa hadapan. Di sini saya kongsikan perkara-perkara yang perlu anda tahu sebagai persediaan sebelum membeli rumah.

1. Pertamanya, anda perlu pastikan kemampuan kewangan diri sendiri dan pasangan. Berapa jumlah wang yang anda dan pasangan mampu keluarkan apabila hendak membeli rumah?. Sila lihat simpanan dalam bank, wang baki dalam akaun Kumpulan Simpanan Wang Pekerja ( KWSP ) serta wang simpanan bersama. Andaian kasar wang yang anda perlu keluarkan untuk pembelian rumah "sub sale" ialah antara 12-14% daripada harga rumah.

2. Anda juga perlu pastikan kemampuan pinjaman di bank. Anda boleh minta bantuan agen hartanah atau pegawai bank yang berkenaan untuk mengetahui kapasiti pinjaman anda. Jika anda seorang penjawat awam, anda pasti tahu tahap pinjaman perumahan maksimum anda.

3. Anda perlu tahu tentang bayaran tambahan yang perlu disediakan contohnya seperti caj bayaran guaman, cukai pembelian, setem duti dan lain-lain bayaran. Jika membeli rumah baru terus dari pemaju perumahan, biasanya kebanyakan caj akan ditanggung oleh pemaju perumahan tersebut.

4. Buat kajian tentang kawasan perumahan yang hendak dibeli, pastikan harga pasaran dengan pihak bank atau agen berdaftar. Biasanya rumah yang ingin dibeli ialah yang berhampiran dengan tempat kerja, kawasan yang selamat, mempunyai kemudahan dan persekitaran atau kejiranan yang baik.

5. Buat beberapa panggilan telefon kepada mereka yang mengiklankan jualan rumah samada terus dengan pemilik atau agen hartanah dan senaraikan beberapa buah rumah pilihan termasuk nombor telefon agen atau pemilik rumah. Anda juga dinasihatkan bertanya pendapat keluarga dan rakan-rakan tentang kawasan rumah yang ingin dibeli.

6. Pastikan anda membuat tinjauan atau "viewing" rumah yang ingin dibeli. Buat tawaran terbaik dan beri kata putus bahawa anda berminat atau tidak kepada pemilik rumah atau agen hartanah untuk urusan seterusnya.

7. Sekiranya anda telah membuat keputusan untuk membeli rumah, buat bayaran "booking" kepada agen hartanah dalam bentuk cek atau banker cheque atau bayaran tunai terus ke akaun agensi hartanah yang berkenaan dan simpan slip bayaran sebagai rujukan di kemudian hari.

Jika anda berpendapat bahawa rumah yang ingin anda beli berpadanan dengan harga, keselesaan, persekitaran, keselamatan dan sebagainya yang telah anda tetapkan, buatlah keputusan dengan segera. Ramai bakal pembeli yang kecewa kerana terlalu lambat membuat keputusan yang mana akhirnya rumah yang diidamkan telah dibeli oleh orang lain. Namun jangan juga tergesa-gesa membuat keputusan, sebab keputusan anda hari ini menentukan kehidupan masa depan anda. Selamat "memburu" rumah idaman.

Tuesday, December 17, 2013

Penangan Ubat

Teks: Norlia Haris
Foto: Koleksi Peribadi





Seharian saya tidak mampu berbuat apa-apa. Mengantuk yang amat sangat. Pagi tadi suami menghantar saya dan anak ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Alhamdulillah, hanya batuk dan selesema biasa. Doktor yang merawat saya dan anak juga sangat baik melayan kami. Menerangkan satu per satu dengan jelas pertanyaan kami, suami isteri. Setelah selesai membayar harga ubat, kami menghantar anak ke taska dan kemudiannya kami menuju ke pejabat.

Setelah menelan ubat, dalam masa setengah jam saya sudah rasa kesannya. Memang tadi doktor ada kata yang saya akan rasa sedikit mengantuk tetapi sedikit mengantuk itulah yang membuatkan saya tidak mampu membuka mata. Jadi, hari ini waktu pejabat menjadi waktu tidur saya. Nyaman tanpa gangguan. Maaf ya bos!.

Malam ni anak saya awal-awal lagi sudah tidur penangan ubat selesema yang saya beri. Biasa waktu-waktu begini dia masih aktif bermain. Saya pula masih berkira-kira untuk menelan ubat selesema. Mahu makan ubat ke tidak?.


Perbezaan Perunding @ Ejen Hartanah dengan Broker Hartanah

Teks: Norlia Haris
Foto: Carian Google






Bismillahirrahmanirrahim.

Kekeliruan masyarakat Malaysia terutama Melayu apabila memperkatakan tentang ejen hartanah. Apa kerja awak? Saya perunding hartanah. Oh!, broker hartanah. Bukan, banyak bezanya antara broker hartanah dengan ejen hartanah atau perunding hartanah ( property negotiator ) ini.

Ejen hartanah dan perunding hartanah tertakluk dengan Akta Penilai, Penaksir dan Ejen Hartanah Tahun 1981 (AKTA 242) yang diguna pakai di seluruh Malaysia. AKTA 242 ini menyatakan tentang tugas, prosedur dan tanggungjawab bagi seseorang ejen hartanah dan perunding hartanah manakala broker hartanah tidak dilindungi malah jika menggunakan khidmat mereka juga berisiko dan terdedah dengan pelbagai masalah.

Terdapat badan yang dipertanggungjawab terhadap Akta 242 ini iaitu Lembaga Penilai, Penaksir & Ejen Hartanah (LPPEH) atau BOVEA ( Board of Valuers, Appraisers and Estate Agents Malaysia ). Di dalam LPPEH atau BOVEA telah ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh ejen hartanah dan perunding hartanah iaitu Malaysia Estate Agency Standard (MEAS) yang lebih detail mengenai skop kerja dan tanggungjawab perunding hartanah berdaftar. Oleh yang demikian, LPPEH atau BOVEA ini bertindak sebagai badan pemantau bagi ejen hartanah dan perunding hartanah berdaftar di Malaysia.

Tahun 2014 ini, akan melihat perubahan besar di mana masyarakat akan dididik untuk menggunakan khidmat ejen hartanah dan perunding hartanah yang berdaftar sahaja. Terdapat satu agensi iaitu MIEA (Malaysian Institut Of Estate Agent) yang bekerjasama LPPEH yang akan memastikan setiap perunding hartanah berdaftar memahami tugas dan mempunyai ilmu serta tanggungjawab dalam bidang hartanah ini yang memberi khidmat dan nasihat terbaik kepada masyarakat.

Bagi suami saya pula, beliau telah maju setapak lagi. Beliau bermula dengan menjadi perunding hartanah berdaftar dengan sebuah agensi hartanah di Bandar Baru Bangi. Kemudian mengambil Sijil Harta Tanah di Institut Penilaian Negara (INSPEN) selama 1 1/2 tahun. Sekarang dalam tempoh percubaan selama 2 tahun, memegang kod PEA1083 sebelum menjadi ejen hartanah dan membuka agensi hartanah sendiri. In shaa Allah. Saya akan sentiasa menjadi "orang kanan" yang menyokong kerjaya beliau.

Bagi rakan-rakan yang ingin berurusan dengan perunding hartanah samada ingin menjual atau membeli hartanah, sila pastikan ejen anda itu berdaftar dengan bertanyakan kod pendaftaran mereka dan agensi hartanah yang mereka naungi. Selain mendapat perkhidmatan terbaik dan khidmat nasihat, hak anda akan terpelihara dan dilindungi. Tugas perunding hartanah tidak tertakluk kepada mencari pembeli atau penyewa sahaja, ia meliputi dari segi menasihati tentang prosedur, nilai hartanah semasa, undang-undang yang terlibat, pengurusan pinjaman bank dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan urusan jual beli hartanah.

Jazakallahu Khair.

Sunday, December 15, 2013

Diari 2014

Teks: Norlia Haris
Foto: Koleksi Peribadi




Hujan rintik-rintik menderu menjadi lebat. Hujan petang membuatkan tidur mikhael lena diulit mimpi. Entah apa yang dimimpikan, tersenyum lebar dalam tidur. Mungkin dapat bertemu rakan sepermainannya dari negara Jepun, Ultraman.

Cepat benar masa berlalu. Diam tak diam hanya tinggal 15 hari sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun 2014. Diari tahun 2014 sudah saya miliki, hasil pemberian encik suami. "Nanti boleh karang-karang entri blog dalam diari ni", katanya. Amboi!, prihatin juga dia dengan usaha baru saya untuk berblog. Sememangnya suami adalah semangat saya dan sangat menyokong saya menyertai Akademi Bekerja di Rumah. Kadang-kala dia pula yang mengingatkan saya untuk buat entri blog seterusnya. Saya senyum-senyum sahaja sambil meminta idea daripadanya. Semoga Diari 2014 ini menjadi pemangkin buat saya untuk terus menulis dan berkongsi sesuatu buat pembaca yang setia. Ada ke pembaca setia blog saya ni?

Friday, December 13, 2013

Hari pertama berniaga

Teks: Norlia Haris
Foto: Carian Google




"Aduh, malunya!. Betul ke yang aku buat ni?"
"Betul ke susun barang macam ni?"
"Ada ke orang nak datang beli?"

Ayat-ayat di atas adalah antara petikan kata-kata hati, hari pertama saya mula-mula berniaga. Hari bersejarah itu membuatkan saya serba tak kena. Bermula dari keluarkan barang, membuka payung, susun meja, susun barang, saya rasa semua orang sedang memerhatikan saya. Saya seperti orang bersalah. Segala gerak geri terkial-kial dan seperti terapung diawang-awangan. Malunya hanya tuhan sahaja yang tahu. Itu semua telah menjadi sejarah, mengimbau 12 tahun dahulu. Zaman tiada berniaga "online" yang ada hanya "offline".

Perasaan saya ini, bukan saya seorang sahaja yang rasai. Saya yakin, peniaga hebat di luar sana juga pernah melalui  perkara yang sama. Hari di mana sejarah bermula. Hari pertama berniaga! Berniaga di tapak pasar malam, pasar tani, tapak 'down town', bazar Ramadhan, di tepi jalan, di tapak parkir dan di mana jua tempat yang menjadi tumpuan ramai. Namun semakin hari ia umpama "Alah bisa, tegal biasa". Hari demi hari saya pelajari ilmu baru selok belok berniaga sama ada dari pengalaman yang saya lalui atau dari orang lama yang telah bertahun menjadikan perniagaan sebagai punca rezeki. Alhamdulillah, pengalaman lalu memberi seribu erti buat saya. Ia mengajar saya bersabar, bersyukur, kuat semangat, berdisiplin dan yang paling penting meletakkan kebergantungan dan keyakinan sepenuhnya dengan rezeki yang Allah berikan.

Pernah ketika saya sedang berniaga, datang seorang peniaga baru di sebelah gerai saya hendak mula berniaga. saya perhatikan dari gerak-gerinya sama ketika saya mula-mula hendak berniaga dahulu. Malu-malu hendak mula berniaga. Bila saya terkenangkan saat itu, buat saya tersenyum dan bertanya pada diri sendiri, kenapa hendak malu?

Bukan malu, cuma belum biasa!

Walaupun sekarang saya lebih kepada aktiviti online tapi saya percaya sesiapa yang pernah melalui pengalaman atau sedang melalui pengalaman ini yakin bahawa bukan mudah untuk berjaya. Ia menuntut pengorbanan dan kekuatan diri.





Wednesday, December 11, 2013

Buku Pembangunan Harta Tanah

Teks: Norlia Haris
Foto: Koleksi Peribadi

 



Tajuk buku : Pembangunan Harta Tanah: Perundangan dan Prosedur Pengurusan.
Oleh : Abdullah Mahmood dan Abdul Aziz Hussin
Penerbit : USM Publication

Hari ini saya ingin berkongsi mengenai buku yang suami saya pinjam dari Perpustakaan INSPEN ( Institut Penilaian Negara) di Bangi. Buku ini ditulis oleh dua orang pensyarah dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia. Buku ini menghuraikan secara terperinci tentang prosedur dan proses perundangan dalam membangunkan sesebuah tanah.

Ia merangkumi tentang dokumentasi, pihak berkuasa yang terlibat, carta aliran kerja, perkara-perkara teknikal yang melibatkan pembangunan tanah dan bangunan. Buku ini sesuai untuk pemaju perumahan berskala sederhana dan kecil untuk mempelajari dan melihat semua aspek perundangan, cara kerja, istilah pembangunan dan selok belok pembangunan tanah.

Bagi saya ia adalah nilai tambah dan ilmu yang sangat berguna. Buku ini boleh menjadi rujukan sesiapa sahaja yang ingin menambah serba sedikit ilmu dalam industri hartanah. Manalah tahu suatu hari nanti kita mampu menjadi pemaju perumahan. Ucapan itu adalah doa.

Salam kasih sayang.

Tuesday, December 10, 2013

Tips menjual rumah

Teks: Norlia Haris
Foto: Carian Google



Salam sejahtera semua rakan-rakan.

Persoalan yang sering diajukan oleh pemilik rumah apabila hendak menjual rumah mereka adalah berapa lama proses penjualan rumah? Prosedur biasa penjualan rumah mengambil masa antara empat hingga enam bulan sebelum hak milik rumah bertukar tangan kepada pembeli baru. Namun terdapat juga proses yang mengambil masa satu tahun atau lebih bergantung kepada status rumah.

Hari ini saya ingin berkongsi tentang tips persediaan yang perlu dilakukan oleh pemilik rumah untuk mempercepatkan penjualan rumah mereka. Antaranya ialah pengumpulan dokumentasi dan maklumat rumah yang hendak dijual. Surat perjanjian lama pembeli ( SNP ), cukai pintu, cukai tanah dan bil-bil air, elektrik, pembentungan perlu dikumpulkan. Pastikan segala bil-bil tunggakan diselesaikan bagi kelancaran proses penjualan  rumah tersebut.

Penjual juga perlu menyelenggara keadaan rumah dalam keadaan baik kerana bakal pembeli sering menjadikan "first Impression" sebagai keputusan membeli rumah. Penjual digalakkan membersih, mengecat dan membaikpulih kerosakan yang ada di dalam dan di luar rumah. Walaupun ianya seperti perkara yang remeh-temeh tetapi memberi impak besar dalam membantu proses mempercepatkan penjualan rumah. Sebab lain yang boleh menyebabkan rumah lambat dijual ialah jika rumah berkenaan mempunyai penyewa. Kerjasama dengan penyewa amat diperlukan. Ini kerana ada sesetengah penyewa enggan memberi kerjasama dengan tidak membenarkan bakal pembeli meninjau kawasan luar dan dalam rumah. Rumah rosak, kotor dan tidak diselenggara dengan baik oleh penyewa juga menyebabkan proses penjualan rumah terbantut.

Untuk lebih memudahkan penjualan rumah, anda boleh menggunakan khidmat agen hartanah. Anda dinasihatkan  memilih agen hartanah yang berdaftar dengan BOVEA. Agen hartanah akan membantu anda dalam penjualan rumah, mencari pembeli, menguruskan pinjaman bakal pembeli dengan pihak bank dan khidmat nasihat jual beli.

Tips lain menjual rumah dengan cepat adalah menjual rumah dengan harga berpatutan dan mengikut harga semasa pasaran. Jika harga rumah terlalu tinggi, akan menyukarkan bakal pembeli mendapatkan pinjaman dari pihak bank dan berkemungkinan terpaksa mengeluarkan wang deposit dengan jumlah yang agak besar dan di luar kemampuan.

Diharapkan dengan tips ini, dapat membantu anda menjual rumah. In shaa Allah, akan ada tips menjual rumah pada entri yang lain. Selamat menjual!

Monday, December 9, 2013

Sahabat

Teks: Norlia Haris
Foto: Koleksi Peribadi





Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah tanpa saya sedar, saya dikelilingi sahabat- sahabat yang baik dan berjiwa prihatin.

Sehari dua ini, saya dan suami sempat meluangkan masa mengunjungi pejabat ABIM ( Angkatan Belia Islam Malaysia ) cawangan Bandar Baru Bangi. Kami dan rakan-rakan terpanggil untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan dan sebahagian lagi sahabat menderma dalam bentuk barangan keperluan untuk mangsa banjir di Pahang dan Terengganu. Lebih terkesan di hati, apabila seorang sahabat saya menangis setelah menerima pesanan ringkas saya berkenaan bantuan kepada mangsa banjir. Membuatkan saya terkedu seketika. Tidak sangka sampai begitu sekali. Tanpa dapat saya tahan, saya juga turut menangis. Hati wanita saya, cepat benar tersentuh. Akhirnya beliau meminta saya datang ke rumahnya. Ketika saya sampai, beberapa kotak dan beberapa beg plastik besar telah tersedia di hadapan rumahnya. Saya dapati barang yang ingin disumbangkan adalah barang untuk jualan perniagaannya dan barang makanan yang ada dalam simpanannya di rumah. Saya melihat usaha murni, kesungguhan dan keikhlasan mereka dalam  membantu mangsa- mangsa banjir yang sedang menghadapi kesusahan. MashaAllah. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi sahabat-sahabat kami ini.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga penduduk yang terlibat dalam situasi banjir selamat dan dikuatkan semangat untuk menghadapi dugaan Allah ini.



Sunday, December 8, 2013

Majlis pertunangan

Teks: Norlia Haris
Foto: Koleksi Peribadi



Hari ini telah berlangsungnya majlis pertunangan adik ipar saya, saiful dengan pasangannya Nabila di Sabak Bernam, Selangor. Sebelum itu, rombongan telah singgah sebentar di rumah Puan Yati dan Encik Wahid di Puncak Alam. Rombongan meminang dari pihak lelaki telah disambut meriah oleh keluarga pihak perempuan. Majlis telah diserikan dengan kehadiran saudara-mara dan sahabat handai kedua-dua pasangan. Kepada Saiful dan Nabila, tahniah diucapkan, selamat menempuh alam pertunangan dan bersedia melangkah ke fasa seterusnya, menempuhi  kehidupan berumahtangga.

Saturday, December 7, 2013

Tips membeli rumah

Teks: Norlia Haris
Foto: Carian Google




"Abang, kita belilah rumah ni. Saya suka, kita bayar booking hari ni juga," kata Puan Mas kepada suaminya, Encik Adi. Bimbang jika dia terlambat membayar deposit rumah yang diidamkan, disambar pula pembeli lain.
"Betul ke Mas suka rumah ni?" tanya Encik Adi meminta kepastian.
"Suka sangat bang, ruang tamu luas, dapur besar berbanding dengan rumah yang kita duduk sekarang ni sempit. Rumah ni lebih baik," pujuk Puan Mas.

Biasa jika kita hendak membeli rumah, perkara seperti itu yang selalu kita fikirkan, bukan?
Ya, saya juga berfikir begitu. Kebanyakan orang itulah yang difikirkan, selain kemampuan kewangan yang mencukupi untuk membayar ansuran bulanan rumah tersebut, frasarana dan jarak rumah ke tempat kerja juga diambil kira.

Persoalannya di sini benarkah rumah tersebut lebih baik dari rumah yang sedang diduduki sekarang ini?
Bagaimana jika saya katakan, setiap kali hujan berpanjangan atau tibanya musim tengkujuh akan berlaku banjir kilat di kawasan rumah tersebut?
Sudah tentu ia bukan menjadi rumah idaman anda lagi, malah jika anda membeli kediaman tersebut, anda mungkin mengalami mimpi ngeri setiap kali tibanya musim tengkujuh.

Jadi, antara salah satu tips sebelum anda membuat keputusan untuk memiliki atau membeli rumah, sudah tentu elakkan membeli rumah di kawasan yang berlaku banjir atau kawasan tanah rendah. Selain boleh menyebabkan anda kerugian harta benda, kerosakan struktur bangunan kediaman dan perubahan struktur tanah yang boleh menyebabkan bencana lain terjadi, ia juga boleh mengakibatkan kejatuhan nilai hartanah itu sendiri. Buatlah sedikit "survey" di carian Google atau bertanya di kawasan kejiranan yang berhampiran hartanah yang anda ingin miliki.

Thursday, December 5, 2013

Musim tengkujuh

Teks: Norlia Haris
Foto: Facebook




Assalamualaikum.

Pagi hari yang tenang. Cuaca sejuk. Langit kelihatan kelabu. Anak saya, Mikhael masih lena tidur. Saya pula selepas ini akan menyediakan menu sarapan pagi buat keluarga sebelum menjalankan rutin harian. Kotak fikiran saya sudah terbayang jemput- jemput ikan bilis, sambal kicap dan air teh o.

Barangkali hari ini, hujan akan turun lagi. Sudah masuk bulan Disember. Musim tengkujuh. Beberapa negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sudah dilanda banjir. Berita semalam, bandar Kuantan tenggelam teruk. Bekalan elektrik juga terpaksa dipotong kerana dibimbangi akan berlaku kerosakkan pada pencawang yang ditenggelami air dan perkara yang tidak diingini. Ada juga pusat penempatan mangsa banjir terpaksa sekali lagi dipindahkan ke tempat lain kerana juga dinaiki air.

Saya harap mereka yang menjadi mangsa banjir, bersabar dan tabah dengan ujian ini. Pantau anak- anak dan keluarga anda. Utamakan keselamatan. Kehilangan harta benda boleh dicari ganti. Saya terbayangkan warga tua, mereka yang uzur, kanak- kanak, ibu- ibu yang sedang berpantang bersama bayi mereka di pusat penempatan mangsa banjir. Bagaimanakah keadaannya?

Wednesday, December 4, 2013

Salam perkenalan


Teks: Norlia Haris
Foto: Koleksi Peribadi





Assalamualaikum.

Salam perkenalan buat anda yang sedang membaca blog saya ini. Alhamdulillah, ini entri saya yang pertama. Terasa kelu untuk memulakan bicara, mungkin kerana belum benar-benar saling mengenali antara kita. Mudah-mudahan akan ada entri yang seterusnya untuk tatapan pembaca yang budiman.

Saya perkenalkan diri saya, Norlia Haris. Merupakan seorang ibu kepada seorang cahayamata lelaki. Setelah menamatkan pengajian, saya bekerja sebagai Pembantu Akaun dan kemudian beralih pekerjaan dalam bidang peruncitan & pemasaran di beberapa buah syarikat untuk beberapa tahun. Setelah berkahwin, saya bersama-sama suami menjalankan beberapa jenis perniagaan, MLM, Networking dan sekarang dengan kecanggihan teknologi jalur lebar, saya memperluaskan perniagaan trading secara online dan merupakan rakan niaga suami dalam bidang hartanah.

Harapan saya, melalui blog ini dan dengan sedikit ilmu yang ada pada diri saya, ingin saya kongsikan dengan para pembaca terutama kepada mereka yang ingin mengetahui ilmu dalam bidang hartanah, jadi melalui medium ini saya kongsikan Panduan Jualbeli Hartanah untuk semua. Semoga kita mendapat manfaat bersama. In Shaa Allah.
 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...