Friday, December 13, 2013

Hari pertama berniaga

Teks: Norlia Haris
Foto: Carian Google




"Aduh, malunya!. Betul ke yang aku buat ni?"
"Betul ke susun barang macam ni?"
"Ada ke orang nak datang beli?"

Ayat-ayat di atas adalah antara petikan kata-kata hati, hari pertama saya mula-mula berniaga. Hari bersejarah itu membuatkan saya serba tak kena. Bermula dari keluarkan barang, membuka payung, susun meja, susun barang, saya rasa semua orang sedang memerhatikan saya. Saya seperti orang bersalah. Segala gerak geri terkial-kial dan seperti terapung diawang-awangan. Malunya hanya tuhan sahaja yang tahu. Itu semua telah menjadi sejarah, mengimbau 12 tahun dahulu. Zaman tiada berniaga "online" yang ada hanya "offline".

Perasaan saya ini, bukan saya seorang sahaja yang rasai. Saya yakin, peniaga hebat di luar sana juga pernah melalui  perkara yang sama. Hari di mana sejarah bermula. Hari pertama berniaga! Berniaga di tapak pasar malam, pasar tani, tapak 'down town', bazar Ramadhan, di tepi jalan, di tapak parkir dan di mana jua tempat yang menjadi tumpuan ramai. Namun semakin hari ia umpama "Alah bisa, tegal biasa". Hari demi hari saya pelajari ilmu baru selok belok berniaga sama ada dari pengalaman yang saya lalui atau dari orang lama yang telah bertahun menjadikan perniagaan sebagai punca rezeki. Alhamdulillah, pengalaman lalu memberi seribu erti buat saya. Ia mengajar saya bersabar, bersyukur, kuat semangat, berdisiplin dan yang paling penting meletakkan kebergantungan dan keyakinan sepenuhnya dengan rezeki yang Allah berikan.

Pernah ketika saya sedang berniaga, datang seorang peniaga baru di sebelah gerai saya hendak mula berniaga. saya perhatikan dari gerak-gerinya sama ketika saya mula-mula hendak berniaga dahulu. Malu-malu hendak mula berniaga. Bila saya terkenangkan saat itu, buat saya tersenyum dan bertanya pada diri sendiri, kenapa hendak malu?

Bukan malu, cuma belum biasa!

Walaupun sekarang saya lebih kepada aktiviti online tapi saya percaya sesiapa yang pernah melalui pengalaman atau sedang melalui pengalaman ini yakin bahawa bukan mudah untuk berjaya. Ia menuntut pengorbanan dan kekuatan diri.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...