Wednesday, March 5, 2014

Apa itu Kaveat?

Teks: Norlia Haris
Gambar: Carian google



Apa itu kaveat?

Berjumpa lagi kita dalam soal hartanah. Hari ini ingin saya kongsikan satu perkara yang selalu diperkatakan apabila bercerita tentang hartanah iaitu kaveat. Kaveat adalah sekatan atau pendaftaran halangan untuk sebarang urusniaga ke atas sesebuah hartanah. Tidak kira samada melibatkan urusan lelong, pembelian hartanah "sub sale" atau hartanah baru. Apabila kaveat didaftarkan atas sesebuah hartanah menyebabkan pemilik berdaftar tidak boleh membuat sebarang urusniaga terhadap tanah berkenaan semasa tempoh kaveat. Kaveat juga mekanisme yang disediakan oleh undang-undang untuk melindungi kepentingan seseorang ke atas urus niaga hartanah miliknya.

Terdapat empat jenis kaveat yang dinyatakan di dalam Akta Kanun Tanah Negara 1965 (Bab 19, Bahagian 1).

1. Kaveat Pendaftar. Kaveat jenis ini yang didaftarkan oleh Pendaftar ke atas Dokumen Hakmilik. Menurut Seksyen 320, antara tujuan kaveat jenis ini adalah untuk melindungi hak-hak pemilik tertentu dan juga berkaitan dengan hak-hak kerajaan. Ia juga untuk menghalang dari urus niaga yang tidak wajar dan penipuan.

2. Kaveat Persendirian. Sekatan atasan hartanah yang dimasukkan oleh individu atau sebuah badan yang mempunyai kepentingan ke atas pemilikan hartanah tersebut. Menurut Seksyen 322 Kanun Tanah Negara telah memperuntukkan pendaftaran kaveat yang menyatakan "sesiapa yang mempunyai kepentingan yang boleh didaftarkan, bolehlah memasuki suatu kaveat persendirian untuk melindungi kepentingan mereka."

3. Lien Kaveat. Kaveat cagaran atau pegangan atas satu dokumen hakmilik. Kebiasaan kaveat jenis ini didaftarkan oleh Bank atau syarikat pinjaman untuk menjaga kepentingan mereka setelah sesebuah hartanah dicagarkan atau disandarkan kepada mereka. Perkara ini disebut dalam Seksyen 330 dalam Akta Kanun Tanah Negara 1965.

4. Kaveat Amanah. Didalam Seksyen 332 pula menyatakan tentang kaveat amanah ini. Kaveat ini dimasukkan oleh pendaftar ke atas mana-mana individu atau badan yang memegang amanah ke atas milikan tersebut.

Apabila kita terlibat dalam satu urusniaga samada jualbeli, sewa atau pajakan sesebuah hartanah, kaveat ini adalah sesuatu yang amat penting untuk diperhatikan. Kita boleh melihat bukti kaveat pada dokumen hakmilik. Dengan itu, anda dinasihatkan untuk mendapatkan carian geran terbaru di Pejabat Tanah untuk melihat status samada hartanah itu mempunyai kaveat atau tidak. Ini kerana banyak kes berlaku apabila pembeli hartanah telah membuat bayaran pendahuluan tanpa melihat status terbaru, tetapi pertukaran hakmilik tidak dapat dilakukan kerana terdapat sekatan atau kaveat atas hartanah tersebut. Ada kemungkinan duit pendahuluan anda akan hilang amat besar.

Tempoh sekatan atau kaveat persendirian adalah selama 6 tahun, ia akan secara automatik akan terbatal selepas tempoh itu. Namun semua kaveat yang didaftarkan boleh ditarik balik atau dibatalkan oleh pengkaviet dengan hanya membuat pembatalan di Pejabat Tanah. Kaveat juga boleh dibatalkan dengan perintah mahkamah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...