Friday, December 20, 2013

Persediaan sebelum membeli rumah

Teks: Norlia Haris
Foto: Carian Google



Bismillahirrahmanirrahim.

Anda sedang berkira-kira untuk membeli rumah? Alhamdulillah, anda sebenarnya sedang membuat persediaan merancang kehidupan yang lebih selesa buat diri dan keluarga anda untuk masa hadapan. Di sini saya kongsikan perkara-perkara yang perlu anda tahu sebagai persediaan sebelum membeli rumah.

1. Pertamanya, anda perlu pastikan kemampuan kewangan diri sendiri dan pasangan. Berapa jumlah wang yang anda dan pasangan mampu keluarkan apabila hendak membeli rumah?. Sila lihat simpanan dalam bank, wang baki dalam akaun Kumpulan Simpanan Wang Pekerja ( KWSP ) serta wang simpanan bersama. Andaian kasar wang yang anda perlu keluarkan untuk pembelian rumah "sub sale" ialah antara 12-14% daripada harga rumah.

2. Anda juga perlu pastikan kemampuan pinjaman di bank. Anda boleh minta bantuan agen hartanah atau pegawai bank yang berkenaan untuk mengetahui kapasiti pinjaman anda. Jika anda seorang penjawat awam, anda pasti tahu tahap pinjaman perumahan maksimum anda.

3. Anda perlu tahu tentang bayaran tambahan yang perlu disediakan contohnya seperti caj bayaran guaman, cukai pembelian, setem duti dan lain-lain bayaran. Jika membeli rumah baru terus dari pemaju perumahan, biasanya kebanyakan caj akan ditanggung oleh pemaju perumahan tersebut.

4. Buat kajian tentang kawasan perumahan yang hendak dibeli, pastikan harga pasaran dengan pihak bank atau agen berdaftar. Biasanya rumah yang ingin dibeli ialah yang berhampiran dengan tempat kerja, kawasan yang selamat, mempunyai kemudahan dan persekitaran atau kejiranan yang baik.

5. Buat beberapa panggilan telefon kepada mereka yang mengiklankan jualan rumah samada terus dengan pemilik atau agen hartanah dan senaraikan beberapa buah rumah pilihan termasuk nombor telefon agen atau pemilik rumah. Anda juga dinasihatkan bertanya pendapat keluarga dan rakan-rakan tentang kawasan rumah yang ingin dibeli.

6. Pastikan anda membuat tinjauan atau "viewing" rumah yang ingin dibeli. Buat tawaran terbaik dan beri kata putus bahawa anda berminat atau tidak kepada pemilik rumah atau agen hartanah untuk urusan seterusnya.

7. Sekiranya anda telah membuat keputusan untuk membeli rumah, buat bayaran "booking" kepada agen hartanah dalam bentuk cek atau banker cheque atau bayaran tunai terus ke akaun agensi hartanah yang berkenaan dan simpan slip bayaran sebagai rujukan di kemudian hari.

Jika anda berpendapat bahawa rumah yang ingin anda beli berpadanan dengan harga, keselesaan, persekitaran, keselamatan dan sebagainya yang telah anda tetapkan, buatlah keputusan dengan segera. Ramai bakal pembeli yang kecewa kerana terlalu lambat membuat keputusan yang mana akhirnya rumah yang diidamkan telah dibeli oleh orang lain. Namun jangan juga tergesa-gesa membuat keputusan, sebab keputusan anda hari ini menentukan kehidupan masa depan anda. Selamat "memburu" rumah idaman.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...