Tuesday, December 10, 2013

Tips menjual rumah

Teks: Norlia Haris
Foto: Carian Google



Salam sejahtera semua rakan-rakan.

Persoalan yang sering diajukan oleh pemilik rumah apabila hendak menjual rumah mereka adalah berapa lama proses penjualan rumah? Prosedur biasa penjualan rumah mengambil masa antara empat hingga enam bulan sebelum hak milik rumah bertukar tangan kepada pembeli baru. Namun terdapat juga proses yang mengambil masa satu tahun atau lebih bergantung kepada status rumah.

Hari ini saya ingin berkongsi tentang tips persediaan yang perlu dilakukan oleh pemilik rumah untuk mempercepatkan penjualan rumah mereka. Antaranya ialah pengumpulan dokumentasi dan maklumat rumah yang hendak dijual. Surat perjanjian lama pembeli ( SNP ), cukai pintu, cukai tanah dan bil-bil air, elektrik, pembentungan perlu dikumpulkan. Pastikan segala bil-bil tunggakan diselesaikan bagi kelancaran proses penjualan  rumah tersebut.

Penjual juga perlu menyelenggara keadaan rumah dalam keadaan baik kerana bakal pembeli sering menjadikan "first Impression" sebagai keputusan membeli rumah. Penjual digalakkan membersih, mengecat dan membaikpulih kerosakan yang ada di dalam dan di luar rumah. Walaupun ianya seperti perkara yang remeh-temeh tetapi memberi impak besar dalam membantu proses mempercepatkan penjualan rumah. Sebab lain yang boleh menyebabkan rumah lambat dijual ialah jika rumah berkenaan mempunyai penyewa. Kerjasama dengan penyewa amat diperlukan. Ini kerana ada sesetengah penyewa enggan memberi kerjasama dengan tidak membenarkan bakal pembeli meninjau kawasan luar dan dalam rumah. Rumah rosak, kotor dan tidak diselenggara dengan baik oleh penyewa juga menyebabkan proses penjualan rumah terbantut.

Untuk lebih memudahkan penjualan rumah, anda boleh menggunakan khidmat agen hartanah. Anda dinasihatkan  memilih agen hartanah yang berdaftar dengan BOVEA. Agen hartanah akan membantu anda dalam penjualan rumah, mencari pembeli, menguruskan pinjaman bakal pembeli dengan pihak bank dan khidmat nasihat jual beli.

Tips lain menjual rumah dengan cepat adalah menjual rumah dengan harga berpatutan dan mengikut harga semasa pasaran. Jika harga rumah terlalu tinggi, akan menyukarkan bakal pembeli mendapatkan pinjaman dari pihak bank dan berkemungkinan terpaksa mengeluarkan wang deposit dengan jumlah yang agak besar dan di luar kemampuan.

Diharapkan dengan tips ini, dapat membantu anda menjual rumah. In shaa Allah, akan ada tips menjual rumah pada entri yang lain. Selamat menjual!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...