Monday, December 9, 2013

Sahabat

Teks: Norlia Haris
Foto: Koleksi Peribadi





Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah tanpa saya sedar, saya dikelilingi sahabat- sahabat yang baik dan berjiwa prihatin.

Sehari dua ini, saya dan suami sempat meluangkan masa mengunjungi pejabat ABIM ( Angkatan Belia Islam Malaysia ) cawangan Bandar Baru Bangi. Kami dan rakan-rakan terpanggil untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan dan sebahagian lagi sahabat menderma dalam bentuk barangan keperluan untuk mangsa banjir di Pahang dan Terengganu. Lebih terkesan di hati, apabila seorang sahabat saya menangis setelah menerima pesanan ringkas saya berkenaan bantuan kepada mangsa banjir. Membuatkan saya terkedu seketika. Tidak sangka sampai begitu sekali. Tanpa dapat saya tahan, saya juga turut menangis. Hati wanita saya, cepat benar tersentuh. Akhirnya beliau meminta saya datang ke rumahnya. Ketika saya sampai, beberapa kotak dan beberapa beg plastik besar telah tersedia di hadapan rumahnya. Saya dapati barang yang ingin disumbangkan adalah barang untuk jualan perniagaannya dan barang makanan yang ada dalam simpanannya di rumah. Saya melihat usaha murni, kesungguhan dan keikhlasan mereka dalam  membantu mangsa- mangsa banjir yang sedang menghadapi kesusahan. MashaAllah. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi sahabat-sahabat kami ini.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga penduduk yang terlibat dalam situasi banjir selamat dan dikuatkan semangat untuk menghadapi dugaan Allah ini.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...