Wednesday, February 19, 2014

Makan Nasi Arab

Teks: Norlia Haris
Foto: Koleksi peribadi



Sebut sahaja nasi arab semua orang tahu. Nasi Arab bukan lagi asing di negara kita yang sememangnya kaya dengan pelbagai jenis makanan yang enak-enak dan lazat malah restoran nasi arab ini tumbuh umpama cendawan selepas hujan di negara kita. Ada lebih kurang 10 buah restoran bertemakan menu padang pasir ini di sekitar Kajang dan juga Bangi.

Selasa lepas, saya membeli nasi arab untuk makan malam bersama keluarga. Saya dan anak memilih nasi arab Kabsah ayam dan suami pula nasi arab Kabsah kambing. kami memang pelanggan tetap nasi arab di Foodcourt Uniten Bangi. Harga pun sangat berpatutan. Mula-mula dulu saya kurang gemar makan nasi arab disebabkan tiada sambal yang pedas-pedas tetapi mungkin kerana kerap kali menemani suami yang gemar ke restoran nasi arab, lama-lama saya boleh terima masakan timur tengah ini dan kini ianya merupakan makanan kegemaran kami sekeluarga. Kalau 2-3 minggu tidak makan nasi arab sudah terasa rindu.

Bila bertanya pada rakan-rakan tentang nasi arab ni, masing-masing ada cerita dan restoran nasi arab pilihan masing-masing. Namun rata-rata akan mengatakan restoran Sa'ba di Cyberjaya adalah pilihan utama. Pernah makan di  Restoran Sa'ba tu, memang ramai orang. Kalau datang waktu tengahari, kena tunggu meja kosong baru boleh makan. Makan nasi arab ni memang sedap tapi tidak boleh amalkan selalu sebab boleh 'koyak' dompet namun kalau orang belanja boleh je selalu. Haha :)








Friday, February 14, 2014

Petua menghilangkan batuk


Teks: Norlia Haris
Foto: Koleksi peribadi


Sudah dua minggu batuk saya masih belum baik-baik lagi, ubat batuk hari-hari saya makan tapi sekarang cuaca panas jadi bila tekak dah mula dahaga, pantang-larang sudah tidak peduli. Minum ais sejuk atau air tebu adalah penghilang dahaga terbaik. Nikmat. Gerai air tebu pula memang dekat dengan pejabat saya. Bila batuk saya semakin kerap, keras dan menyesakkan tangkai jantung suami saya yang mendengar, katanya saya perlu buat sesuatu. 

Ada beberapa petua untuk menghilangkan batuk ni, mungkin salah satu di antara beberapa petua ni serasi dengan diri kita. In shaa Allah.

Petua menghilangkan batuk 1
Campurkan 1 sudu madu lebah asli dengan 1 cawan air suam. Kacau hingga sebati dan minum 3 kali sehari.

Petua  menghilangkan batuk 2
Ambil perahan jus limau nipis dan dicampurkan dengan sesudu madu. Minum setiap pagi sebelum sarapan. 

Petua menghilangkan batuk 3
Ambil perahan jus limau nipis, sesudu madu, halia dimayang halus atau ditumbuk dicampur dengan air suam. Kacau sebati dan minum setiap pagi dan malam.

Petua menghilangkan batuk 4
Ambil 8 helai daun pudina dan rebus bersama beberapa ketul gula batu. Rebus kedua-dua bahan tadi selama 5 minit. Minum air rebusan tersebut sekerap mungkin hingga hilang batuk.

Petua menghilangkan batuk 5
Campurkan perahan jus limau nipis, 2 sudu kicap manis dan madu. Minum 3 kali sehari.

Petua menghilangkan batuk 6
Makan 2 ulas bawang putih bakar. Bakar bawang putih selama 2 minit. Kemudian, kupas kulit bawang berkenaan dan makan 2 ulas pada waktu malam.


Saya amalkan petua yang ketiga. Alhamdulillah, memang ada perubahan. Batuk saya sudah tidak sekerap seperti sebelumnya. Boleh kembali kerja dengan tenang dan tidur dengan lena tetapi kalau masih berterusan batuk tu eloklah segera dapatkan khidmat nasihat pakar perubatan takut-takut ada penyakit lain pula yang kita tak duga. Mencegah itu kan lebih baik daripada merawat :)


Monday, February 10, 2014

10 panduan membeli lot banglo untuk membina rumah

Teks: Norlia Haris
Foto: Carian Google






Assalamualaikum.


Selamat berhujung minggu.

Topik pada kali ini yang saya pilih ialah membeli tanah untuk membina rumah idaman anda. Ramai juga yang memilih untuk membuat banglo sendiri terutama apabila harga rumah teres yang dijual oleh pemaju agak mahal atau anda mempunyai impian untuk membina rumah banglo mengikut gaya dan citarasa anda sendiri. Jika anda mempunyai perancangan untuk membeli lot banglo berikut adalah 10 panduan membeli lot banglo untuk mengelakkan anda daripada tertipu @ timbul masalah-masalah di masa akan datang.

1- Lokasi yang dipilih adalah amat penting. Anda digalakkan untuk membeli lot banglo di lokasi yang sudah ada banglo dibina. Ini adalah petunjuk paling selamat kerana lokasi tersebut memang dibenarkan untuk membina banglo dan pastikan lokasi bukan kawasan rendah atau ada laluan air serta bukan kawasan curam atau kawasan yang tidak sesuai untuk membina banglo.


2- Namun jika pilihan anda seperti di atas kebiasaanya lot banglo tersebut dijual dengan harga yang agak mahal. Jadi jika budget anda sederhana maka anda boleh membeli lot banglo yang belum dipecahkan kepada individu title atau geran individu dan akan dilakukan pada masa hadapan. Kebiasaan pemaju atau pemilik tanah akan menghantar perancangan pecah lot bersama penukaran status tanah kepada pembangunan kepada pihak pejabat tanah daerah. Lot-lot banglo seperti ini banyak ditawarkan untuk dibeli. 


3- Jika anda ingin membeli tanah atau lot banglo lebih murah dan berani untuk mengambil risiko, anda boleh membeli lot banglo yang berkongsi nama dalam geran. Ianya tidak digalakkan tetapi jika anda yakin dan mempunyai wang tunai serta boleh berkongsi bersama adik beradik atau saudara- mara ia boleh dilakukan. Namun perlu diingatkan tanah tersebut tidak boleh dicagarkan kepada bank atau membuat pinjaman kerajaan.


4- Bagi keluasan minimum lot banglo pula, anda digalakkan membeli lot banglo paling kurang 3500 kaki persegi atau 4000 kaki persegi atau keluasan tanah paling ideal adalah 5000-6000 kaki persegi. Bagi yang mempunyai budget lebih bolehlah membeli 8000-10000 kaki persegi. Tidak digalakkan membeli Semi-D lot seluas 1800-2500 kaki persegi. Ia akan ada masalah untuk kelulusan dan pembinaan rumah pada masa akan datang.


5- Adalah paling baik jika dapat membeli 1 ekar tanah dalam 1 geran tersendiri kerana menurut Akta Kanun Tanah Negara, anda dibenarkan untuk membina 1 buah rumah atas 1 ekar tanah tanpa mengubah status tanah pertanian kepada pembangunan. Rumah banglo anda siap dengan dusun dapat dibina dengan keluasan tanah tersebut.


6- Zonning adalah perkara perlu anda tahu jika membeli lot banglo. Anda boleh membuat semakkan di Majlis Perbandaran samada lot banglo yang ingin anda beli berada di dalam zonning perumahan atau kawasan perancangan perumahan. Ini penting, jika tidak termasuk dalam zonning perumahan maka nanti status perumahan atau pembangunan yang dipohon agak sukar untuk didapati. Zonning biasanya hanya akan disemak semula 5-10 tahun sekali oleh pihak Majlis Perbandaran.


7- Perancangan pecah lot atas tanah oleh pihak pemaju juga perlu diperhatikan. Sesetengah pemaju kecil tidak ikut spesifikasi majlis perbandaran, ia akan menjadi masalah pada masa hadapan apabila lot banglo yang dijual berubah sempadan. Memang akan menjadi masalah besar, ada kemungkinan anda perlu memecahkan sebahagian rumah banglo yang dibina sebab telah termasuk sempadan tanah milik orang lain.


8- Infra adalah perkara paling penting semasa membeli lot banglo. Jika lot banglo sekelompok perlu ada rezab jalan 40-60 kaki persegi (bergantung pada majlis Perbandaran), tanah lapang, TNB, longkang, tangki air dan sistem pembentungan. Anda perlu ambil tahu dan mendapat kepastian daripada mereka atau pemaju yang membuat pecah lot tersebut. Banyak lot banglo yang dijual tidak meletakkan perkara ini sebagai perkara asas.


9- Perjanjian jual beli juga perlu diteliti, adalah lebih baik anda mendapat nasihat dari peguam lain selain peguam yang digunakan oleh pemaju yang membuat pecahan lot banglo tersebut. Perlu ada jangka masa serahan geran individu dan ketahui hak anda terhadap tanah yang telah dibeli. Ditakuti selepas anda membayar keseluruhan harga lot banglo tersebut tetapi setelah 2-3 tahun tiada apa-apa yang dilakukan ke atas tanah yang dijanjikan.


10- Pemaju juga adalah elemen terpenting dalam keputusan untuk membeli lot banglo. Ada sesetengah pemaju yang tidak bertanggungjawab apabila membuat pecahan lot. Sesetengah pemaju membuat kerja separuh jalan, tinggalkan pembeli dalam keadaan tergantung tidak bertali dan tiada apa-apa hak  ke atas tanah. Anda digalakkan berhati-hati dalam pemilihan pemaju atau individu apabila membeli lot banglo.


Berikut adalah antara perkara-perkara yang perlu anda ambil perhatian. Jika kita berhati-hati dari awal dengan membuat siasatan, kajian, pergi ke pejabat tanah dan Majlis Perbandaran, in shaa Allah kita dapat membeli lot banglo dan membuat rumah banglo yang kita impikan.


Jazakallahu khair.

Thursday, February 6, 2014

Novel Kabus Rindu

Teks: Norlia Haris
Foto: Koleksi peribadi





Tajuk buku: Kabus Rindu
Pengarang: Monalita Mansor
Terbitan: Elee Mardiana Publication
Sinopsis: Zaweeya membenci Wafi Ikhmal Arie Glas, pelajar lelaki kacukan Pan-Europe di sekolahnya. Suatu hari dia tertumbuk wajah  jejaka idaman Malaya itu. Selepas peristiwa itu, satu per satu peristiwa terjadi dalam hidup Zaweeya. Bermula dengan mahu saman-menyaman dari keluarga Wafi kemudian dia diugut, diculik dan ditikam. Siapakah sebenarnya yang berdendam dengan Zaweeya? Apa sebenarnya yang diinginkan dari Zaweeya? Benarkah dalam diam Wafi Ikhmal mencintai Zaweeya yang pernah menumbuk dan memalukannya? 

Ulasan saya: Alhamdulillah, tak sia- sia saya memiliki novel Kabus Rindu ini. Penceritaan satu watak ke satu watak dan seterusnya berkembang menjadi satu kisah yang menarik dengan gaya bahasa yang santai dan bersahaja ditambah dengan penceritaan naskhah hikayat Melayu lama Mimpi Kembang Dahlia terserlah keindahan kesusasteraan Melayu melalui bahasa klasik dan syair umpama rempah ratus yang sempurna di dalam novel ini.

Kisah antara Zaweeya dan Wafi Ikhmal, Ungku Izzaidah dan Hidayati, Haikal dan Siti Solehah, Kembang Dahlia dan Putera Indera Laksamana masing-masing memegang peranan dengan baik sekali bergabung dalam satu cerita kekeluargaan dan persahabatan, benci dan dendam, kasih dan sayang.

Tahniah buat Puan Monalita Mansor di atas kelahiran novel Kabus Rindu ini. Semoga akan ada lagi kelahiran novel-novel dari hasil tangan yang sangat berbakat ini di masa akan datang dan selamat maju jaya.



Saturday, February 1, 2014

Kesilapan pemilik ketika menjual rumah

Teks: Norlia Haris
Foto: Carian Google





Berdasarkan pengalaman, perkongsian rakan hartanah dan pemerhatian.

Antara 10 kesilapan utama penjual (owner @ pemilik) semasa menjual rumah.

1. Menjual melebihi market value @ harga pasaran.
2. Penjual atau salah seorang pemilik sebenar rumah telah diisytihar bankrap.
3. Kes penceraian menjadi punca tiada persefahaman dalam membuat keputusan dalam penjualan rumah.
4. Dokumen berkaitan rumah tidak lengkap.
5. Tidak mahu bertolak-ansur dalam proses penjualan rumah.
6. Memberi maklumat hartanah yang salah atau tidak tepat.
7. Memandang remeh tentang fungsi & kepentingan melantik perunding hartanah termasuk melantik terlalu ramai perunding hartanah termasuk broker.
8. Keadaan rumah yang tidak terurus dan tidak "bersedia" untuk dijual.
9. Tidak memberi kerjasama kepada pembeli atau perunding hartanah.
10. Pendirian sering berubah dan tidak jujur samada kepada perunding hartanah atau pembeli.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...