Friday, December 27, 2013

Urusan carian geran di Pejabat Tanah Hulu Langat

Teks: Norlia Haris
Foto: Carian Google




Bila ada orang bertanya di mana Pejabat Tanah Hulu Langat pastinya ramai yang menjawab di Hulu Langat letaknya. Namun Pejabat Tanah Hulu Langat berkedudukan di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi yang juga merupakan kawasan jajahan Daerah Hulu Langat. Berhampiran dengan Taman Tasik Cempaka, Masjid Hasanah Seksyen 9, Bangi dan bersebelahan pasaraya Warta.

Minggu lepas saya berkesempatan bersama suami untuk membuat carian geran di Pejabat Tanah Hulu Langat. Ini adalah langkah wajib yang perlu dibuat apabila ingin berurusan dengan penjualan tanah. Carian geran ini adalah untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pemilikan, jumlah pemilik sebenar, jumlah keluasan tanah, bentuk tanah, status pajakan atau pegangan bebas serta tanah tersebut bebas dari kaveat atau sebaliknya. Semua maklumat ini penting untuk memastikan tanah yang dimaksudkan "valid" untuk urusan jual beli.

Terdapat peraturan baru menambahbaik urusan carian geran di Pejabat Tanah Hulu Langat ini. Dimana sebelum carian geran dibenarkan untuk dicetak, mereka yang membuat carian geran perlu membuat pengesahan kad pengenalan, cap jari dan memberi nombor telefon sebagai rujukan. Langkah yang baik untuk mengawal dan mengenal pasti maklumat geran diberikan kepada mereka yang bertanggungjawab. Bayaran caj RM30 untuk carian biasa dan RM50 untuk carian rasmi.

Apabila maklumat sebenar tanah telah diketahui, kami berurusan pula di Bahagian Pembangunan Tanah dimana maklumat tambahan diperlukan untuk mengetahui secara kasar lokasi, kawasan sekitar, jalan masuk, laluan perparitan dan zon persekitaran tanah. Maklumat tambahan ini amat penting untuk mengetahui samada tanah yang dinyatakan sesuai untuk pembangunan atau tidak.

Ramai penjual, agen hartanah dan broker hartanah tidak melakukan prosedur asas ini apabila ingin membuat urusan jual beli tanah. Kebiasaan pihak pembeli ingin mengetahui maklumat tentang kedudukan tanah, jalan keluar masuk ke tanah berkenaan, keadaan bentuk muka bumi, tanaman atas tanah, keluasan sebenar tanah dan pemilik sebenar tanah yang ingin mereka beli selain harga yang ditawarkan. Oleh itu, anda sebagai pemilik atau bakal pembeli tanah perlu membuat carian geran terkini sebagai dokumen rasmi urusan jual beli tanah.

Sekian sahaja perkongsian hari ini. Selamat beramal. :)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...