Tuesday, December 17, 2013

Perbezaan Perunding @ Ejen Hartanah dengan Broker Hartanah

Teks: Norlia Haris
Foto: Carian Google






Bismillahirrahmanirrahim.

Kekeliruan masyarakat Malaysia terutama Melayu apabila memperkatakan tentang ejen hartanah. Apa kerja awak? Saya perunding hartanah. Oh!, broker hartanah. Bukan, banyak bezanya antara broker hartanah dengan ejen hartanah atau perunding hartanah ( property negotiator ) ini.

Ejen hartanah dan perunding hartanah tertakluk dengan Akta Penilai, Penaksir dan Ejen Hartanah Tahun 1981 (AKTA 242) yang diguna pakai di seluruh Malaysia. AKTA 242 ini menyatakan tentang tugas, prosedur dan tanggungjawab bagi seseorang ejen hartanah dan perunding hartanah manakala broker hartanah tidak dilindungi malah jika menggunakan khidmat mereka juga berisiko dan terdedah dengan pelbagai masalah.

Terdapat badan yang dipertanggungjawab terhadap Akta 242 ini iaitu Lembaga Penilai, Penaksir & Ejen Hartanah (LPPEH) atau BOVEA ( Board of Valuers, Appraisers and Estate Agents Malaysia ). Di dalam LPPEH atau BOVEA telah ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh ejen hartanah dan perunding hartanah iaitu Malaysia Estate Agency Standard (MEAS) yang lebih detail mengenai skop kerja dan tanggungjawab perunding hartanah berdaftar. Oleh yang demikian, LPPEH atau BOVEA ini bertindak sebagai badan pemantau bagi ejen hartanah dan perunding hartanah berdaftar di Malaysia.

Tahun 2014 ini, akan melihat perubahan besar di mana masyarakat akan dididik untuk menggunakan khidmat ejen hartanah dan perunding hartanah yang berdaftar sahaja. Terdapat satu agensi iaitu MIEA (Malaysian Institut Of Estate Agent) yang bekerjasama LPPEH yang akan memastikan setiap perunding hartanah berdaftar memahami tugas dan mempunyai ilmu serta tanggungjawab dalam bidang hartanah ini yang memberi khidmat dan nasihat terbaik kepada masyarakat.

Bagi suami saya pula, beliau telah maju setapak lagi. Beliau bermula dengan menjadi perunding hartanah berdaftar dengan sebuah agensi hartanah di Bandar Baru Bangi. Kemudian mengambil Sijil Harta Tanah di Institut Penilaian Negara (INSPEN) selama 1 1/2 tahun. Sekarang dalam tempoh percubaan selama 2 tahun, memegang kod PEA1083 sebelum menjadi ejen hartanah dan membuka agensi hartanah sendiri. In shaa Allah. Saya akan sentiasa menjadi "orang kanan" yang menyokong kerjaya beliau.

Bagi rakan-rakan yang ingin berurusan dengan perunding hartanah samada ingin menjual atau membeli hartanah, sila pastikan ejen anda itu berdaftar dengan bertanyakan kod pendaftaran mereka dan agensi hartanah yang mereka naungi. Selain mendapat perkhidmatan terbaik dan khidmat nasihat, hak anda akan terpelihara dan dilindungi. Tugas perunding hartanah tidak tertakluk kepada mencari pembeli atau penyewa sahaja, ia meliputi dari segi menasihati tentang prosedur, nilai hartanah semasa, undang-undang yang terlibat, pengurusan pinjaman bank dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan urusan jual beli hartanah.

Jazakallahu Khair.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...